Fenomena drama bersiri kanak-kanak, Hikayat Putera Shazlan yang pernah ditayangkan di Astro suatu ketika dahulu begitu kuat walaupun hampir 16 tahun drama itu menemui penonton, teraju utamanya, Fimie Don masih sering dikaitkan dengan watak tersebut.
“Saya Fimie Don, panggillah saya Fimie Don,” tegasnya yang tidak mahu terus dibayangi watak kanak-kanak comel dan memikat hati ramai, sebaliknya sebagai seorang pelakon yang bekerja keras untuk setiap watak diberi.
Fimie atau nama sebenarnya Shafimie Saedon, 24, mengakui ketika siri tersebut ingin ditamatkan pada musim ketiga, dia dan kru produksi amat sedih dan mengharap untuk menyambungnya kepada beberapa musim lagi malah berangan-angan untuk menjadikannya filem.
“Namun sekarang, pada pendapat saya, tiada kemahuan membuatnya kembali. Cerita ini mungkin tidak begitu relevan untuk penonton sekarang, mungkin hanya untuk golongan yang melalui zaman kanak-kanak ketika ia disiarkan.
“Sedangkan kita mahu menangkap minat penonton kanak-kanak sekarang kerana ia cerita fantasi. Cuma budak zaman sekarang tidak mengenali siapa itu Shazlan.
“Kalau saya buat filem tersebut, orang akan mengimbau Fimie Don yang dari Hikayat Putera Shazlan dahulu dan saya tidak mahu. Biar fenomena penambahbaikan manusia di dunia ini dan mereka kenal saya sebagai Fimie Don dan tidak lagi Putera Shazlan,” ujarnya.
Tahun 2021 juga merupakan tahun kebangkitan Fimie dalam industri hiburan apabila dimurahkan rezeki dengan pelbagai tawaran berlakon. Antaranya, drama Keluarga Untuk Disewa dan Diari Seorang Suami yang telah ditayangkan hujung tahun lalu.
Malah Fimie turut seronok meneroka cabang seni baharu iaitu dalam bidang nyanyian apabila dia dan rakan-rakannya, Sydograph, Shouk dan Afiq Rahem menghasilkan lagu rap iaitu Dial yang sehingga kini mendapat hampir 400,000 tontonan di Youtube.
Ujarnya yang turut merancang untuk menghasilkan single sendiri, perjalanan untuk bergelar penyanyi bukanlah mudah kerana dia lebih dikenali sebagai pelakon, bukannya penyanyi rap.
“Saya tengah merakam sebuah single yang dinamakan SAMBUT, akronim Sampai Aku Mati Buat Untuk Tuhan. Lagu itu menceritakan kelebihan tentang sesiapa sahaja di luar sana yang mencari rezeki kerana Tuhan sayang orang yang penat bekerja.
“Kita mengadu kepada Tuhan, ‘aku penatlah berkerja’ tetapi itulah penat yang Tuhan sayang, apa kita buat kerana Tuhan,” ujarnya yang turut menyumbang penulisan lirik Dial. – BOOM!