Pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak mengumumkan dia kini tidak lagi terlibat dalam aktiviti pelaburan mata wang asing atau dikenali sebagai forex.
Perkara itu dimaklumkan Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 38, menerusi hantaran di akaun Instagram dan Twitter miliknya.
“Assalamualaikum. Hari ini Zizan ambil keputusan menarik diri dari dunia forex atas sebab tertentu.
“Doakan yang baik-baik untuk Zizan dan juga semua. Semoga Allah memberkati kita. Insya-Allah,” tulisnya di bahagian kapsyen.
Biarpun tidak memperincikan alasannya, namun rata-rata netizen percaya ia berkait rapat dengan fatwa terkini yang mengklasifikasikan sebagai haram kerana berunsurkan riba, malah tidak berdaftar di bawah Bank Negara Malaysia.
Selain dipersetujui dan dipuji jutaan peminatnya, pelakon filem Abang Long Fadil berkenaan turut dinasihatkan agar fokus kepada bisnes restoran Korea yang sedang diusahakan demi mencari rezeki halal. – BOOM!