Meskipun telah menyertai pelbagai pertandingan realiti dan sering membuat persembahan di hadapan khalayak ramai, penyanyi popular Aina Abdul akui tidak dapat mengelak daripada mengalami perasaan gemuruh.
Berpeluang untuk kongsikan tips kepada peserta Big Stage 2022 ketika dijemput menjadi Juri Juara , menurut Aina dia akan mendongak ke atas untuk seketika bagi menghilangkan perasaan gemuruh. Ketika itu, pelantun Sepi ini meletakkan niat tertentu pada persembahannya.
“Buat semua peserta apa yang sering saya lakukan adalah tengok ke atas dan ingat kita nyanyi untuk siapa? Kerana itu akan lawan kembali perasaan gemuruh kita” kata Aina
Pesan Aina lagi, dia berharap agar semua peserta dapat menjaga kesihatan diri mereka secara maksimum apatah lagi ketika negara masih berhadapan dengan COVID-19.
Pada pandangannya, meskipun mereka berada di dalam sebuah pertandingan namun kesihatan harus diutamakan.
“Bagi saya kita kena lihat pada diri kita sendiri. Kalau kita rasa tak boleh lakukannya, jadi jangan lakukannya. Sesetengah peserta yang kena kuarantin kita memang tak boleh nak elak tetapi dalam pertandingan bagi saya kekuatan mental juga adalah penting, itu yang saya pegang dari dulu” katanya
Aina berkata demikian ketika ditemui pada konsert minggu kedua Big Stage 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad lalu.
Untuk rekod, penyanyi Megat Rahim dan Daniel Chuer direhatkan selama seminggu dari membuat persembahan kerana mengalami masalah kesihatan, masing-masing pada minggu pertama dan kedua pertandingan realiti itu.
Iqbal Zulkefli pula menepati ramalan ramai menjadi peserta pertama yang tersingkir setelah mendapat markah terendah dikalangan semua peserta- BOOM!