Empat tahun menghilangkan diri dek kerahan mandatori menyertai perkhidmatan ketenteraan Korea Selatan dan disusuli pandemik Covid-19, kumpulan K-Pop terkenal, Big Bang akhirnya membuat kemunculan semula.
Menurut agensi YG Entertainment, Big Bang bakal mengeluarkan lagu dan video klip terbaharu musim bunga ini, pertama sejak album terakhir mereka berjudul Flower Road empat tahun lalu.
Namun di sebalik berita gembira, turut terselit khabar duka bagi peminat setia mereka iaitu penyanyi rap kumpulan berkenaan iaitu T.O.P bakal meninggalkan YG Entertainment sebaik kontraknya tamat.
Berita tersebut mungkin mengejutkan, namun T.O.P telah memberi bayangan untuk berpisah dengan agensi terbabit sejak 2020 menerusi siaran IG Live miliknya.
Pada masa sama, jejaka kacak itu mendedahkan kepada jutaan pengikutnya bahawa dia tidak merancang untuk melakukan kemunculan semula.
Tambahan pula, dia merancang untuk menghasilkan muzik sendiri.
Sehari selepas YG Entertainment membuat pengumuman, kelihatan T.O.P memuat naik hantaran gambar di IG Story yang tertera perkataan ‘gembira’.
Namun tak perlu bersedih, T.O.P atau nama asalnya Choi Seung-hyun berjanji akan menyertai Big Bang sekiranya keadaan mengizinkan. – BOOM!