Siaran program realiti pertama terbitan Awesome TV iaitu Mic On (MO) sudah pun memasuki musim kedua sejak dua minggu lalu.
Masih mengekalkan format serupa dengan gabungan elemen nyanyian dan diselia oleh barisan pengurus peserta yang terdiri daripada pelawak, ia ternyata mencipta keunikan.
Jika musim terdahulu Shuk Sahar dilihat mengisi posisi tersebut, namun kali ini tempatnya diganti oleh Ajak Shiro, lantas timbul persoalan sama ada benar atau tidak pelawak itu telah digam stesen televisyen.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) stesen berkenaan, Datuk Adam Ilyas berkata, ketiadaan Shuk bukan sebab telah digam, namun cuma memberi ruang kepadanya untuk berehat.
“Dia adalah sahabat kami. Dari awal penubuhan stesen ini, Shuk memberikan kerjasama terbaik dalam usaha untuk sama-sama menaikkan jenama Awesome TV.
“Jadi mana mungkin kami akan gam dia. Pada masa ini, biar dia berehat dahulu dan selesaikan masalah peribadi dihadapinya,” kata Adam menetapkan pendirian.
Adam berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Mic On musim kedua (MO-2) yang diadakan baru-baru ini.
MO-2 membabitkan penyertaan 20 orang peserta dan dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diketuai seorang pelawak bagi mengendalikan dari sudut idea pentas.
Selain Ajak, dua pelawak dari musim pertama iaitu Fad Bocey dan Ropie Cecupak masih kekal sebagai pengurus.
Dihoskan oleh Azwan Ali dan Issey Fadzlisham, MO-2 memperkenalkan tiga juri tetap iaitu Mas Idayu, Datuk Hattan dan Datuk Awie- BOOM!