Jejaka rebutan Malaya, Zul Ariffin sekali lagi membuat ‘angkara’ apabila aksi mesra dan romantisnya bersama pelakon baharu, Nelissa Nizam dicemburui para peminat.
Semuanya ketika pasangan tersebut menjayakan sesi fotografi montaj drama terbaharu lakonan mereka berjudul Tarik Aku Ke Syurga yang bakal disiarkan di slot Samarinda TV3 tidak lama lagi.
Meninjau ruangan komen Instagram (IG) yang dimuat naik kedua-dua pelakon terbabit, rata-rata peminat amat mencemburui gandingan hero dan heroin berkenaan.
“Susah juga nak berlakon kalau dapat hero macam Zul. Jenuh tahan hati takut nanti terjatuh cinta pula,” memetik komen ditinggalkan seseorang di hantaran milik Zul atau nama lengkapnya Zulkifli Ariffin, 36.
Sementara itu, menerusi akaun IG milik Nelissa atau Nelissa Edreena Nizam, 24, pengikutnya juga dilihat ‘mengusik’ aktres itu yang disifatkan bertuah dapat mendampingi aktor sasa tersebut.
“Wah, bukan main happy. Senyum sampai ke telinga dapat berpasangan dengan Zul. So lucky!” tulis kenalannya dalam nada nakal.
Drama Tarik Aku Ke Syurga diadaptasi daripada novel Tarik Daku Ke Syurga karya Haitun Kamarazaman dan diterbitkan oleh Creative Skill Solution sebanyak 28 episod di bawah arahan Malek Rahman. – BOOM!