Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu, Datin Seri Zizie Izette selayaknya menerima wang imbuhan sebanyak RM2.8 juta setelah pelakon terbabit memperkenalkan suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin kepada Felcra bagi urusan pelaburan berjumlah RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar berkata, bayaran diberikan kepada Zizie merupakan wang pengenalan dan itu merupakan strategi pemasaran pihaknya sementelah wanita terbabit turut memperkenalkan seorang pegawai kanan Felcra untuk membuat pelaburan sama.
“Saya menghubungi Datin Seri (Zizie Izette) mengatakan pelaburan dibuat Felcra telah berjaya dan pada masa sama mendapat komisen selaku orang tengah.
“Diakui, saya adalah pakar dalam menceritakan kepada rakyat Malaysia tentang kelebihan unit amanah tetapi tidak boleh masuk ke dalam syarikat-syarikat besar yang tidak tahu cara kerja saya,” katanya selaku saksi pendakwaan ke-25.
Semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How sebab Zizie perlu dibayar wang tersebut, Norhaili menjelaskan aktres siri Hero Seorang Cinderella itu berhak memperolehinya setelah mengambil kira segala perbelanjaan kos, cukai dan faedah bulanan selagi pelaburan dibuat berada di bawah jagaannya.
Saksi itu berkata demikian ketika sesi perbicaraan kes rasuah yang dihadapi pasangan suami isteri tersebut di hadapan Hakim Rozina Ayob. – BOOM!