Awal bulan ini video iklan yang dimuat naik Zul Ariffin menampakkan aksi mesranya bersama seorang wanita mendatangkan rasa kurang senang dalam kalangan warga maya.
Menerusi video berdurasi selama seminit itu, aktor filem Sangkar berkenaan kelihatan berpelukan dengan wanita terbabit yang berimej muslimah memakai tudung.
Bertemu dengan pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM-31) itu baru-baru ini, dia menyatakan, adegan tersebut sekadar lakonan semata-mata bagi tujuan promosi.
“Tak rancang pun. Di set penggambaran, saya hanya buat kerja yang diminta. Apabila tular, saya diamkan saja.
“Selama saya berlakon, kritikan dan kecaman ni dah diibaratkan seperti sarapan. Dah makan, move on,” jelasnya menjawab persoalan umum.
Dalam perkembangan lain, Zul atau Zulkifli Ariffin, 36, baru saja dilantik menjadi duta bagi produk bengkung jenama Superwoman yang diasaskan pasangan beradik Syasya Abdul Aziz dan Farah Abdul Aziz.
Menurutnya, video tular diperkatakan itu merupakan sedutan daripada iklan promosi bengkung diwakilinya.
“Kalau ada yang kurang senang, saya minta maaf. Saya jenis yang komited jika menyentuh bab kerja,” tambahnya. – BOOM!