Berselindung di sebalik sebuah studio rakaman di Petaling Jaya, aktiviti penagihan dadah seorang gitaris sebuah kumpulan rock popular akhirnya terbongkar.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan ketika sedang lalok bersama adiknya dalam satu operasi dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Petaling semalam.
Memetik laporan Harian Metro, lelaki terbabit dan adiknya yang berusia 26 tahun ditahan di bawah pengaruh dadah.
Ketua AADK Daerah Petaling Mazlinna Kassim berkata, ketika ditahan turut menemui beberapa bungkusan ketulan mampat daun kering yang disyaki ganja.
“Dadah seberat 343 gram itu dipercayai untuk diedarkan kepada penagih dadah di sekitar kawasan ini.
“Kedua-dua suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya.
Selain dua beradik tersebut, pihaknya turut menahan tiga lelaki yang terlibat dalam penagihan dadah di sekitar Shah Alam.
“Ujian saringan yang dijalankan ke atas dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan seorang positif dadah jenis opiat.
“Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya. – BOOM!