Tindakan Nora Danish memuat naik sedutan penggambaran supertele berjudul 7 Minggu Sebelum Kahwin yang berlatarbelakangkan sebuah kuil di laman Instagram baru-baru ini dilihat menjadi punca aktres itu dituduh syirik.
Memaparkan babaknya selaku heroin menghadiri upacara perkahwinan sepasang pengantin kaum India, tidak semena-mena warganet menyuruh Nora agar mengucap syahadah dan segera bertaubat.
Jelita mengenakan pakaian tradisi wanita India iaitu legha, Nora berkata, tuduhan kolot sebegitu biasanya disuarakan segelintir individu kurang bijak yang melihat media sosial sebagai taman permainan.
“Kalau nak komen, jangan ikut suka. Selidik dulu sebelum mengata, terutama apabila melibatkan tuduhan serius berkaitan maruah dan agama.
“Hidup dalam masyarakat majmuk, kena hormat kepercayaan orang lain,” tegasnya memberi peringatan.
Terdahulu, klip video yang menampakkan deretan patung berhala di kuil tersebut dijadikan asbab beberapa pengikut menulis komen-komen negatif, malah kedengaran biadab.
Sekadar info, karya genre romantik komedi arahan Eyra Rahman itu merupakan terbitan bersama dua pihak iaitu KRU Studios dan Bloombordia serta dibintangi MK K-Clique – BOOM!