Pelakon yang dikenali menerusi siri kepolisan Gerak Khas iaitu Mas Khan baru-baru ini memberitahu bahawa dia mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM10,000 hanya dalam tempoh masa enam jam.
Menerusi perkongsian di laman Instagram, Mas atau nama penuhnya Mas Hidzhir Khan Mas Fadzillah Khan menerangkan, jumlah itu adalah kekayaan yang dimilikinya kini walaupun baru berusia 28 tahun.
“Ini merupakan hasil pulangan yang saya berjaya kumpul apabila menyertai bidang perdagangan.
“Untuk mencapai tahap ini, semestinya bukan mudah atau dengan dada yang kosong.
“Sebelum memutuskan untuk berdagang secara atas talian, terlebih dahulu saya membuat persediaan rapi termasuk mengkaji dan memahami selok-belok industri ini.
“Apabila ilmu dah cukup, barulah saya yakin untuk mulakan langkah seterusnya,” menurut Mas Khan ketika dihubungi.
Terkenal dengan watak Inspektor Kamal menerusi siri popular terbitan Skop Production itu, Mas Khan mengatakan dia berjinak-jinak dalam lapangan berbentuk urus niaga jual beli mata wang itu setelah diperkenalkan oleh kenalannya di bawah syarikat Forex Cartel.
“Moral cerita, jika tak nak melabur untuk diri sendiri, jangan berangan nak menang besar,” katanya dalam satu klip yang dimuat naik di Instagram milik @forexcartelmy. – BOOM!