Baru-baru ini berlangsungnya majlis pelancaran rasmi radio terbaharu di bawah kelolaan Media Prima iaitu Molek FM yang menyasarkan pendengar Pantai Timur.
Bermatlamat meraikan komuniti penduduk di pesisiran pantai membabitkan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan, Molek FM ditunjangi barisan penyampai muda berasal dari ketiga-tiga negeri dimaksudkan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran ketika ditemui menjelaskan, pemilihan untuk memfokuskan siaran di kawasan terbabit kerana relevan dengan fakta demografik diperolehi.
“Sumber hiburan masyarakat di sana majoritinya masih dipengaruhi elemen tradisi.
“Disebabkan itu kandungan siaran Molek FM sedikit berbeza jika dibandingkan dengan radio-radio sedia ada yang lebih komersial.
“Tambahan pula, faktor lain yang menyebabkan kami bersiaran di tiga buah negeri ini kerana warga Pantai Timur menjadikan radio sebagai platform utama mereka berhibur menerusi lagu-lagu yang diudarakan,” maklumnya dalam temu bual bersama Boom!.
Demi menyajikan isi kandung yang mampu memenuhi cita rasa setempat, maka tidak hairanlah melihat barisan penyampainya yang cukup sinonim dengan kelompok sasaran stesen berkenaan.
Meletakkan Fizie dan Mek Zura selaku pengendali slot Molek Pagi, stesen tersebut disifatkan bijak apabila mengetengahkan bakat selebriti media sosial, Mat Dan untuk melayan pendengar sewaktu segmen Molek Petang ke udara.
Selain mereka bertiga, barisan personaliti radio yang melaungkan slogan Gu Pantai Timur itu turut diperkuatkan dengan kehadiran dua penyampai muda iaitu Izzul Nazmi (Molek 10-3) dan Kai Hassan (Molek Malam). – BOOM!