Penyanyi Elizabeth Tan akui masih belum berani memandu meskipun sudah memiliki lesen kereta sejak berumur 18 tahun.
Dikatakan, dia berasa trauma kerana pernah terbabit dengan kemalangan jalan raya, lantas memutuskan untuk tidak memandu.
“Saya belum ada keyakinan. Memang dah ada lesen, cuma tiada keberanian.
“Bukan tidak pernah cuba, tetapi belum bersedia sepenuhnya,” katanya ketika ditemui sejurus sidang media naskhah terkini lakonannya, Ex Aku Pontianak siaran Astro Ria bermula 19 Januari ini.
Elizabeth yang mesra disapa Lizzy bagaimanapun tekad untuk memberanikan diri pandu kereta apabila dikurniakan anak kelak.
Baginya, alasan takut memandu tidak boleh diterima dan dia akan berusaha keras demi memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu.
“Bila saya ada anak nanti saya pasti akan pandu demi memastikan dapat galas tanggungjawab sebagai ibu.
“Penting untuk saya memandu apabila ada anak nanti bagi jalani rutin harian,” katanya.
Sementara itu, Elizabeth, 28, yang berkahwin dengan Siew Jim pada Mac tahun lalu bakal mengadakan majlis resepsi pada Februari depan.
“Ya, sudah hampir setahun kami kahwin dan seperti semua tahu kita berdepan dengan pandemik Covid-19, jadi kami tangguhkan.
“Saya tetap akan anjurkan majlis sebab kita kahwin cuma sekali seumur hidup,” hujahnya.
Meski hanya majlis kecil-kecilan, dia tetap teruja kerana mahu meraikannya dengan keluarga serta rakan terdekat.
Terbaharu, Lizzy yang juga aktif sebagai pelakon gembira kerana berpeluang membawa watak pontianak bernama Bella dalam siri tersebut.
Drama genre komedi seram itu turut menampilkan pelakon seperti Alicia Amin, Raysha Rizrose dan Ikmal Amry. – BOOM!