The H Entertainments Sdn Bhd (The H) bakal melancarkan program amal makan malam. ‘Bunga-Bunga Cinta Misha Omar, Charity & Fundraising Gala Dinner‘ yang diadakan pada 19 Februari 2022 di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur.
Program amal yang berkonsepkan Black Tie itu dianjurkan dengan menyasarkan syarikat korporat.
Paling menarik, semestinya penampilan istimewa Misha Omar pada majlis makan malam tersebut di samping melunaskan kerinduan para peminat yang ingin mendengar vokal mantap serta persembahan bertenaganya.
Acara itu kelak turut diserikan juga dengan kemunculan artis undangan kelahiran Akademi Fantasia iaitu Dafi Ismail dan Zarol Zarif untuk mengisi slot persembahan berdurasi selama dua jam.
Tujuan utama program amal ini adalah untuk mengutip dana serta mengagihkan sumbangan kepada beberapa yayasan kebajikan yang memerlukan bantuan sumber kewangan.
Antaranya membantu golongan kurang bernasib baik, meyelaras kebajikan anak-anak yatim, bantuan kemasyarakatan dan juga pembangunan modal insan.
Dana dikumpul akan disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Semerah Padi dan turut diberikan kepada pihak Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita) dengan bantuan presidennya, Datuk Malek Ridzuan.
Selain itu, ekoran banjir yang melanda beberapa kawasan di Malaysia, pihak The H juga berhasrat untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa terlibat.
“The H merupakan sebuah syarikat berpengalaman menjalankan acara-acara korporat kerajaan sebelum pandemik covid 19 melanda dunia.
“Alhamdulillah selepas dua tahun keadaan pandemik Covid-19 beransur pulih dengan sokongan kerajaan. The H berhasrat untuk kembali aktif menganjurkan semula program korporat dan seni.
“Ini bagi memulihkan kembali industri seni hiburan tanah air yang sangat teruk terjejas,” ujar Arman Muhammad Mustafa selaku Pengarah Urusan. – BOOM!