Umum mengetahui, pelawak Yoe Parey baru saja selesai menjalani pembedahan akibat penyakit angin pasang atau hernia pada Selasa minggu lalu.
Difahamkan, kesihatan Yoe atau nama sebenarnya Muhammad Ashrul Hakim, 24, kini berada dalam keadaan baik, namun belum pulih sepenuhnya.
“Buat masa ini Yoe masih berehat dan ‘berpantang’. Dia akan mula bekerja apabila kembali sihat macam biasa.
“Sebaik kesihatannya mengizinkan, barulah penggambaran dimulakan. Sekarang, ia ditangguhkan dulu sehingga Februari depan,” ujar rakannya, Syahmi Sazli yang juga YouTuber terkenal.
Syahmi atau Muhd Syahmi Sazli, 26, menambah, situasi dihadapi Yoe tidak memberi impak terhadap pembikinan filem 35 MM yang dijayakannya.
Terdahulu, filem kedua arahan Syahmi itu terpaksa ditunda kerana masalah kesihatan dihadapi teraju utamanya itu.
Yoe menjalani pembedahan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang. Filem 35 MM dijangka menemui penonton melalui saluran Astro First seminggu selepas Aidilfitri 2022.
Selain Yoe, Asif dan Syahmi, filem itu menyaksikan penampilan khas beberapa pelakon seperti Hushairi Hussain dan Kenji Sawahi serta YouTuber terkenal antaranya Poktar, Sai Kamal, juga Wanie Rohaimi. – BOOM!