Kes penceraian paling kucar-kacir di Hollywood yang mengambil masa selama 18 bulan akhirnya menemui titik nokhtah sebaik penerbit dan rapper terkenal, Dr. Dre dan bekas isterinya, Nicole Young, 51, selesai dengan jumlah pampasan dianggarkan bernilai RM417 juta (USD100 juta).
Malahan Dre turut diperintah oleh pihak mahkamah agar membayar wang tunai sebanyak RM209 juta serta-merta kepada wanita tersebut, manakala bakinya perlu dilangsaikan dalam tempoh setahun.
Sehubungan itu, Nicole tidak lagi layak menerima nafkah sebagai pasangan, namun dibenarkan memiliki kesemua barang perhiasan, 4 kereta mewah dan sebuah motosikal.
Pada masa sama, Young juga diarah beredar dari rumah pantai mereka yang terletak pantai peranginan terkenal di Malibu, California dan menanggung segala kos guaman sepanjang perbicaraan berlangsung.
Manakala Dre atau nama sebenarnya Andre Romelle Young, 56, masih memegang sebahagian besar asetnya yang bernilai RM2.4 bilion termasuk syarikat rakaman, tanda dagangan (trademark) dan kesemua syer dalam perniagaannya.
Bahkan rapper terkenal itu juga dapat mempertahankan pegangan sahamnya dalam syarikat Apple berserta hasil daripada penjualan Beats by Dre yang dijual pada 2014 dengan harga RM125 juta.
Bahkan enam kenderaan dan tujuh aset hartanah termasuk di Malibu, Calabasas dan Los Angeles berserta sebuah ladang di Brentwood kekal menjadi milik penyanyi lagu I Need A Doctor itu.
Berdasarkan analogi kes, perceraian itu bermula apabila Nicole mendakwa Dre telah mengusirnya keluar dari rumah pada awal April 2020 serta mendera bekas isterinya dengan mengacu pistol di kepala sebanyak dua kali.
Bekas isteri pemuzik terbabit juga mendakwa Dre telah memindahkan aset secara rahsia bagi mengelak Nicole menuntut kesaksamaan harta sepencarian antara mereka berdua.
Dre menyangkal pertuduhan yang didakwa ke atasnya dan kemudian memfailkan pula tuntutan mahkamah terhadap Nicole yang didakwa telah mencuri wang sebanyak RM1.4 juta daripada tabung studio rakamannya. – BOOM!