Hampir dua tahun sektor industri muzik tempatan direhatkan daripada sebarang aktiviti tidak kira di lokasi terbuka mahupun tertutup, apatah lagi jika membabitkan kehadiran penonton.
Meski ibarat ditidurkan seketika, segelintir penggiat seni dilihat kekal kreatif mengetengahkan karya mereka di ruangan maya.
Selaku pendatang baharu, penyanyi rap dan komposer muda, Asyraf Nasir mengakui keadaan pandemik menjadikan aktiviti seni agak janggal.
“Sejujurnya saya rasa begitu seronok sebab sekian lama tidak membuat persembahan secara langsung.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, saya asyik menghadap kamera saja.
“Agak kekok juga berada dalam situasi begitu apabila tiada penonton untuk berinteraksi.
“Apabila menyanyi, seseorang penyanyi mahu melihat respons pendengar sama ada mereka suka atau tidak,” katanya.
Pemilik lagu 2PAI itu berkata demikian berhubung kelonggaran PKP yang sudah membenarkan acara pentas bagi industri kreatif dan muzik.
Kongsi Asyraf lagi, keterujaannya membuak-buak kerana akhirnya dapat beraksi satu pentas bersama-sama rakan penyanyi.
“Malahan saya dapat beraksi buat kali pertama mendendangkan lagu 2PAI di hadapan khalayak yang selama ini cuma mendengarnya di platform atas talian atau medium elektronik,” jelasnya kepada BOOM!.
Berbicara mengenai single berkenaan, ia berkisar tentang dua jalan cerita yang merungkai asbab seseorang individu bertindak baik ataupun sebaliknya. – BOOM!